UPM KUKUH RANKING QS UNIVERSITI TERBAIK DUNIA KE-229 DAN KEKAL KEDUA TERBAIK NEGARA | INTERNAL AUDIT DEPARTMENT
» NEWS » UPM KUKUH RANKING QS UNIVERSITI TERBAIK DUNIA KE-229 DAN KEKAL KEDUA TERBAIK NEGARA

UPM KUKUH RANKING QS UNIVERSITI TERBAIK DUNIA KE-229 DAN KEKAL KEDUA TERBAIK NEGARA

Oleh CoSComm
SERDANG, 8 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuhkan ranking ke-229 universiti terbaik dunia dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2017/2018 hari ini dan mempertahankan kedudukan tahun lalu sebagai universiti kedua terbaik negara. 

UPM membuat lonjakan 41 tangga berbanding kedudukan 270 pada tahun sebelumnya, iaitu kenaikan sebanyak empat tahun berturut-turut.

Naib Canselornya, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata menurut QS, daripada 26,000 universiti di dunia, UPM berada dalam kelompok satu peratus universiti-universiti terbaik dunia. 

“UPM berjaya memperolehi skor tertinggi antara universiti tempatan bagi indikator International Student, selain peningkatan skor dalam tiga indikator lain iaitu Academic Reputation, Employer Reputation serta Faculty Students Ratio. 

“Usaha UPM  memperkuatkan fundamental universiti juga membuahkan hasil,” katanya yang positif UPM boleh mencapai kedudukan 200 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020 seiring dengan matlamat Putra Global 200. 

Beliau berkata selaras visi UPM untuk menjadi Universiti bereputasi antarabangsa, ranking QS membantu untuk menilai tahap visibiliti UPM terutama dalam aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi. 

Prof Aini berkata usaha UPM memperbaiki beberapa indikator akan digandakan seperti strategi meningkatkan jumlah pensyarah antarabangsa dan meningkatkan kualiti akademik dan pelajar. 

“Peningkatan kualiti kurikulum dan kebolehpasaran pelajar boleh meningkatkan jaringan dan reputasi pelajar UPM dengan industri yang merupakan bakal majikan. 

“UPM juga memperkukuhkan aspek fundamental terutama kualiti penyelidikan akedemik dan bilangan penerbitan dalam jurnal terkemuka dengan bilangan sitasi penerbitan (citations). 

“Warga universiti tidak boleh leka dan perlu mengekalkan momentum prestasi untuk melestarikan kecemerlangan kerana saingan dalam industri pendidikan tinggi amat sengit,” katanya. 

QS World University Rankings 2017/2018 menilai lebih 4,000 universiti utama dunia berdasarkan enam indikator iaitu Academic Reputation (40%), Employer Reputation (10%), Student to Faculty Ratio (20%), Citations per Faculty (20%), International Faculty (5%) dan International Students (5%).

Date of Input: 08/06/2017 | Updated: 08/06/2017 | nurmiera

MEDIA SHARING

INTERNAL AUDIT DEPARTMENT
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1346
03-9769 6176
SXEURAG~