| INTERNAL AUDIT DEPARTMENT

Government Projects Need Detailed Study Prior to Approval

KUALA LUMPUR 31 Julai - Kajian terperinci perlu dijalankan terhadap sesuatu projek kerajaan sebelum ia diluluskan untuk pelaksanaan bagi memastikan semua projek berjalan mengikut jadual dan membolehkan kerajaan mendapat nilai faedah terbaik.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, jabatan dan agensi perlu mengemukakan maklumat lengkap seperti kedudukan status tapak projek, ringkasan projek, siling projek, peruntukan tahunan dan jadual pelaksanaan projek kepada jabatan teknikal, selaras dengan Arahan Perbendaharaan 182.1.

"Perancangan bersepadu antara jabatan dan agensi terlibat perlu dilakukan di peringkat awal pelaksanaan projek terutama bagi projek yang besar, contohnya Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pembekal utiliti seperti air, elektrik dan telekomunikasi, pejabat tanah serta kerajaan negeri.

"Ia bagi memastikan semua kemudahan asas dapat disediakan dan kelancaran projek tidak terjejas," menurut laporan setebal 471 muka surat itu.

Cadangan berkenaan adalah antara yang digariskan Jabatan Audit Negara di bahagian penutup mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan 2016 supaya kelemahan-kelemahan yang dilaporkan tidak berulang.

Laporan itu turut menyebut, ketua setiausaha kementerian/ketua jabatan perlu menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh untuk menentukan sama ada program, aktiviti dan projek lain turut mempunyai kelemahan sama, seterusnya mengambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan.

Laporan Ketua Audit 2016 mendapati pada umumnya, kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan mempunyai perancangan yang baik untuk melaksanakan program, aktiviti dan projek meskipun terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/projek-kerajaan-perlu-kajian-terperinci-sebelum-diluluskan-laporan-audit-1.509576#ixzz4p7vhTq93 

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

SXDTMAw~